Labels

Friday 31 December 1993

DOKUMENTASI SEKOLAH TAHUN 1990

 

GERBANG SEKOLAH

 
GERBANG SEKOLAH
  • Gerbang sekolah yang menarik ini merupakan pintu masuk utama. Gerbang ini didirikan pada tahun 1990 dengan bantuan PIBG Sekolah Tinggi BM
  • Rekabentuk gerbang direka oleh seorang pelajar.
  • 'Roman pillars' digunakan untuk melambangkan kegagahan dan keberanian sekolah serta pelajar Sekolah Tinggi BM
  • Gerbang ini telah menambahkan identiti unik Sekolah Tinggi Bukit Mertajam


"AVENUE" YANG MENARIK









"AVENUE" YANG MENARIK

  • Bangunan sekolah tersergam indah di atas sebuah bukit kecil (kira-kira 34 meter dari aras laut) dilihat dari pintu masuk utama.
  • Pelajar-pelajar terpaksa mendaki cerun sejauh 80m. setiap hari untuk tiba di bangunan utama.
  • Sepanjang cerun diteduhi dengan pokok angsana yang ditanam sejak terbinanya sekolah.
  • Bangku-bangku konkrit berhadapan dengan padang permainan membolehkan pelajar beristirahat dan melepaskan penat lelah mereka.


BANGUNAN UTAMA (BLOK C)









BANGUNAN UTAMA (BLOK C)

  • Bangunan utama (Blok C) ini didirikan pada tahun 1927. Bangunan ini bertapak di atas tanah beralun yang lebih tinggi di antara kawasan di sekitarnya sejajar dengan nama Sekolah Tinggi.
  • Bangunan ini pada asalnya terdiri daripada 12 bilik darjah, 1 pejabat & 1 bilik guru.
  • Sebuah tangga yang luas dan mempunyai sebanyak 12 anak tangga memudahkan pelajar pergi ke bilik darjah.
  • Terletaknya sebuah batu peringatan di mana tercatitnya 'Falsafah Pendidikan Negara'.
  • Terdapat juga papan tanda yang menunjukkan pelan kedudukan bangunan-bangunan yang berada di dalam Sekolah Tinggi Bukit Mertajam.
  • Ada sebuah loceng lama yang besar dan berusia lebih daripada 30 tahun. Loceng ini digunakan sehingga diganti loceng elektrik baru pada tahun 1990. 
  • Di hadapan sebelah kiri, kelihatan sebahagian bangunan kilat (Blok D) yang didirikan pada tahun 1985.

WAJAH BANGUNAN UTAMA (BLOK C)






WAJAH BANGUNAN UTAMA (BLOK C)

Gambar menunjukkan sebahagian besar bangunan utama (Blok C) yang bersejarah. Bangunan ini didirikan pada tahun 1927 dan mencerminkan rekabentuk zaman penjajahan. Selain bumbung yang telah ditukar, sebahagian besar bangunan bertingkat dua ini masih terdiri daripada bahan-bahan asal yang digunakan.

Dengan adanya dua buah 'quadrangle' yang kehijauan, suasana persekitaran tempat ini nampaknya selesa dan sunyi. Tempat-tempat duduk disediakan untuk pelajar berehat, berbincang dan membaca. 


SEBAHAGIAN BANGUNAN UTAMA (BLOK C)









SEBAHAGIAN BANGUNAN UTAMA (BLOK C)

Gambar menunjukkan rekabentuk unik sebahagian bangunan utama (Blok C) yang dibina pada 1927. Walaupun sudah menjangkau 6 1/2 dekad, bangunan masih kelihatan kukuh dan tetap berdiri megah. Selain tiang-tiang konkrit besar, bahan-bahan utama yang digunakan untuk membina bangunan ini adalah kayu-kayan yang berkualiti tinggi dan mempunyai corak estatika yang tersendiri.


DEWAN SEKOLAH









DEWAN SEKOLAH

Dewan ini dibina pada tahun 1929 dan mempunyai rekabentuk yang menarik. Bangunan yang berusia 66 tahun ini masih kukuh dan digunakan untuk peperiksaan awam, mesyuarat guru, forum serta upacara rasmi. Dewan ini boleh menampung kira-kira 500 orang. Terdapat sebuah gelanggang badminton dan sebuah pentas untuk pertunjukan pentas dan sebagainya.

Berhadapan dewan sekolah ini kelihatan dua buah 'quadrangle' yang menghijaukan suasana dan mencantikkan pemandangan Sekolah Tinggi Bukit Mertajam. 


BANGUNAN BLOK A









BANGUNAN BLOK A

  • Bangunan Blok A merupakan blok tambahan pertama yang didirikan pada tahun 1950. Blok ini pada satu masa merupakan blok 'elit'. 
  • Blok ini pada asalnya terdiri daripada 4 buah bilik darjah, 2 buah makmal sains dan sebuah bilik geografi.


BANGUNAN BLOK B









BANGUNAN BLOK B

Bangunan Blok B yang bertingkat 3 bersebelahan dengan bangunan lama (Blok C) 2 tingkat.
Bangunan Blok B ini didirikan pada tahun 1977. Bangunan baru ini mengandungi:
Tingkat bawah - Bilik guru & perpustakaan
Tingkat pertama - Makmal Sains Tingkatan 6
Tingkat teratas - Bilik darjah Tingkatan 6


TAMAN ILMU MENGINDAHKAN PRASARANA 
SEKOLAH TINGGI BUKIT MERTAJAM










TAMAN ILMU

Taman Ilmu yang telah dibina di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam adalah lahir daripada cetusan minda Tuan Pengetua yang cemerlang iaitu Tuan Haji Mansor Abdul Rahman. Projek pembinaan ini telah dilaksanakan pada awal bulan Mei 1992. Taman Ilmu yang dibina ini berjumlah 10 buah dan diagihkan kepada persatuan-persatuan terpilih di sekolah. Setiap taman telah dinamakan dengan nama bekas pelajar STBM yang telah berjaya dalam profesion serta menyumbangkan khidmat kepada masyarakat dan negara. 

Objektif Taman Ilmu ini didirikan adalah bagi menarik minat para pelajar untuk berbincang dalam situasi yang tenteram. Sebenarnya pembinaan Taman Ilmu ini telah memberi banyak kemudahan kepada para pelajar kerana ini dapat memperkembangkan daya kreativiti, mencungkil bakat, memupuk semangat perpaduan serta mendedahkan mereka kepada kebersihan alam sekitar.

Sewaktu projek ini dilancarkan peruntukan sebanyak RM150 telah disediakan. Bagi mencantikkan lagi Taman Ilmu, persatuan yang terlibat telah menggunakan wang persatuan masing-masing. Mulai tahun 1993, Tuan Pengetua telah mengambil keputusan untuk mengadakan pertandingan Taman Ilmu tercantik serta bersih pada setiap bulan. Ini adalah bertujuan untuk melatih para pelajar bersikap lebih matang dan bertanggungjawab. 

Sebenarnya sumbangan pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini telah menyumbangkan tenaga dan bakti mereka demi kepentingan para pelajar Sekolah Tinggi Bukit Mertajam. Sekaligus ia mendorong para pelajar Sekolah Tinggi Bukit Mertajam mencintai ilmu dan mencari ilmu sepanjang hayat.

TAMAN                                                                 Diselenggarakan oleh
1. Y.B. Tn. Hj Zakaria b Bakar                               - Per. Bio/ Alam Sekitar
2. Y.B. Dr. Ibrahim Saad                                         - Per. Bio/ Kaunseling
3. Prof. Dr. Goon Hong Kooi                                  - Kelab Leo
4. Y.B. Datuk Abdullah b. Hj Ahmad Badawi         - Per. Bahasa/ Budaya
5. Tan Sri Datuk Ahmad Kamil b. Jaafar                 - Per. Ekonomi
6. Dato' Eman Md Hussein                                      - Per. Sains
7. Datuk Prof. Ishak b. Tambi Kechik                     - Per. Pengakap
8. K. Jayaraman                                                       - Per. Tingkatan 6
9. Tn. Hj. Abdul Fatah                                             - Per. Sej/ Geografi
10. Lt. Con (B) Datuk Abdullah Samsuddin           - Per. Agama Islam


ASRAMA TUN PERAK









ASRAMA TUN PERAK

Pada asalnya, bangunan ini ialah rumah Penolong Kanan STBM. Bangunan ini dibina sebelum Merdeka dan mempunyai rekabentuk istimewa yang mencerminkan kombinasi pengaruh Barat dan Timur. Bumbung, tingkap dan dinding mempunyai corak yang menarik.

Bagaimanapun, bangunan ini tidak didiami sejak 1974. Pada 1984, tingkat atas bangunan ini dijadikan surau manakala tingkat bawahnya dijadikan bilik agama untuk Tingkatan 1-3. Kini dijadikan asrama untuk menampung 24 orang pelajar lelaki STBM.

Asrama Putera ini diberi nama Tun Perak bersempena dengan nama seorang bendahara yang terkenal pada zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka dahulu. Beliau menjadi Bendahara Melaka pada 1456-1498 dan bergelar Bendahara Paduka Raja. Beliau ialah seorang bendahara yang tegas, berdisiplin, gagah berani dan pentadbir yang bijak.


ASRAMA TUN FATIMAH









ASRAMA TUN FATIMAH

Pada asalnya bangunan ini ialah rumah Pengetua STBM. Rekabentuknya hampir sama seperti Asrama Tun Perak. Walau bagaimanapun, bangunan ini tidak didiami sejak 1977 dan penghuni yang terakhir ialah mendiang Dr. R.D. Naidu.

Oleh sebab kekurangan bilik darjah, maka pihak sekolah menjadikannya sebagai bilik darjah dan akhir sekali sebagai bilik lukisan. Kini dijadikan sebuah asrama untuk 27 orang pelajar perempuan STBM.

Asrama Puteri ini diberi nama Tun Fatimah bersempena dengan nama seorang serikandi Melayu yang terkenal pada zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka. Tun Fatimah anak kepada Bendahara Sri Maharaja iaitu Bendahara Melaka. Beliau dianggap sebagai serikandi negara kerana memperjuangkan keadilan bagi kaum perempuan.


SURAU NURUL IMAN









SURAU NURUL IMAN

Projek pembinaan surau ini dimulakan pada bulan Januari 1992 dan siap sepenuhnya pada bulan Oktober 1993. Surau ini dibina oleh Syarikat Pembinaan Bumijaya. Perbelanjaan untuk pembinaan melibatkan urusan persiapan pelan dan tapak, pembinaan surau dan pengubahsuaian berjumlah RM88, 366.00. Tapak yang dipilih untuk pembinaan surau adalah bekas tapak bangunan pekerja yang dirobohkan. Keluasan surau ini 73'  x 30'. Dengan keluasan yang sebegini rupa, surau ini boleh menampung seramai 300-400 orang.

Surau ini digunakan untuk bersembahyang jemaah oleh keluarga STBM yang terdiri daripada guru-guru, kakitangan serta 1065 orang pelajar beragama Islam. Disamping itu, Kelas KAFA, ceramah agama dan kegiatan keagamaan juga diadakan di sini. Setelah STBM menubuhkan asrama desa, sembahyang berjemaah diadakan pada setiap waktu di surau ini. Mudah-mudahan usaha ini dapat membentuk individu yang soleh, berakhlak mulia dan beriman.



Sumber:

Laporan Dokumentasi Sekolah Tahun 1990